Monday 23 July 2012

surat buat hati


wahai diri ini...
Cinta itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin aku dapat menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak mengkehendaki. Tidak patut aku serahkan hati aku yang dimiliki Allah itu kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintah. Bahkan memang sepatutnya aku serahkan jiwa dan raga aku seluruhnya kepada Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan menuju cinta Allah. Janganlah sekali-kali aku menukarkan tujuan cinta di hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana aku dapat melihat kecantikan manusia dan aku tidak dapat melihat Allah, aku cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. aku lupa dan selalu tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik Allah. Jadikanlah cinta kepada manusia itu sebagai jalan menuju Tuhan, bukan matlamat dan pengakhiran destinasi cinta. Maka aku tahu aku akan lebih tenang menerima segala penolakan.


Wahai hati ini,
Hati ini meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala apa yang aku cintai tidak aku miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta aku tidak dibalas oleh orang yang aku cintai. Ternyata hati itu bukan milik kita, ia milik Allah. aku tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi aku keterlaluan tatkala aku memaksa ia kepada seseorang. Bukankah sepatutnya aku redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan cinta terhadap aku di hati orang yang kita cintai? Alangkah zalimnya diri ini tatkala tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan saban hari sering tidak menghargai cinta Allah, tidak pula membalas segala anugerah cinta yang Allah berikan kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan yang lalui. Bukankah Allah lebih layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalas-Nya dengan ketaatan yang sepatutnya?

Wahai kalbuku,
Allah menjanjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Yakinlah akan janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Perbaikilah setiap inci kehidupan agar termasuk di kalangan orang yang beroleh pasangan yang baik. Allah tahu tentang diri ini lebih daripada aku sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukku lebih baik daripada apa yang aku kehendaki. Boleh jadi aku cintakan sesuatu tetapi ia buruk bagi aku dan begitu juga sebaliknya. Pada setiap persimpangan kehidupan aku, apakah diri ini merasakan bahawa Allah tiada bersama aku? Bahkan dia sentiasa mendengar dan melihat aku. Persoalannya, apakah aku sudah merintih pada-Nya, meminta pada-Nya dan memperlihatkan apa yang sepatutnya kepada –Nya? Aku berlindung dengan Allah daripada menjadi hamba yang kufur dan lupa diri.


Wahai jiwa ini,
Sungguh cinta itu telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu kepada lebih baik atau sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah menjadi wali kerana kuasa cinta, dan ada pula yang bisa menjadi hina kerana dikuasai cinta. Ya, tamadun itu berkembang dan boleh jadi hancur kerana cinta. Tidakkah aku melihat Taj Mahal yang terbina kerana cinta? Sebaliknya, ada pula yang membunuh kerana cinta. Persoalanku kepada diri sendiri, apakah aku ingin berubah kerana cinta ke arah Redha Allah atau mungkin lebih jauh daripada Allah?

Wahai kalbu,
Aku tidak mengatakan bahawa aku mengetahui segala isi hati aku sendiri atau segala kekacauan yang mengisi jiwa ini. Aku cuma ingin berpesan agar diri ini tidak meletakkan keinginanmu lebih tinggi daripada ketentuan Allah. Aku ingin mengerti bahawa milik Allahlah segala kejadian. Kemudiannya aku ingin membawa kefahaman tersebut kepada pengamalan dalam kehidupan yang aku lalui agar ia hidup bersama di dalam setiap inci kehidupan. aku tidak mahu mengatakan bahawa diri aku mentaati Allah di saat hidup ini bergelumang dengan jahiliah. aku anak muda yang bergelora jiwanya. Maka aku berpesan agar aku dipelihara Allah daripada segala penyelewengan dalam memahami hakikat cinta. Aku memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang kuungkapkan dan kumohon doakanlah kebahagiaan ku di dunia dan di akhirat. Moga aku dan dia dipertemukan Allah untuk hidup di syurga yang kekal selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment